GEORGETOWN: Nama lima doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, lima doktor berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat baru-baru ini.
”Saya telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai pembuli di HPP untuk diperiksa oleh menteri dan YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin telah menjawabnya.
”Nama yang dikemukakan ini bukan berkaitan dengan kes kematian doktor pelatih kerana kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.
Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.
Susulan kes berkenaan, KKM menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu dan pasukan bertindak tersebut juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, nama lima doktor yang diserahkan kepada KKM tersebut didakwa sebagai mereka yang paling toksik.
”Saya serahkan nama doktor tersebut setelah membaca Exco Kesihatan Negeri Sembilan turut melakukan perkara ini dengan menyerahkan dua nama kepada Menteri Kesihatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE










