GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang disyaki melanggar syarat sah lesen semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Pertiwi/ Op Benteng telah mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 10.37 kilometer tenggara Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
”Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas B1 berpangkalan di Teluk Bahang itu dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur 45 hingga 53 tahun termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand yang memiliki dokumen permaustatin tetap berumur 60 tahun.
”Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, bot berkenaan bersama tekong serta tiga kru, peralatan menangkap ikan dan ikan campur dianggarkan seberat 100 kilogram disita dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan dan tindakan lanjut.
”Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada dua hari lalu atas kesalahan yang sama,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia memberi amaran kepada pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi syarat sah lesen menangkap ikan yang dikeluarkan.
Ini kerana tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.
”Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. –UTUSAN ONLINE










