PENDANG: Sebanyak 13 keluarga mangsa ribut di Felda Sungai Tiang di sini, tertanya-tanya mengenai bantuan membaiki rumah yang dijanjikan kerajaan negeri dan pengurusan Felda walaupun bencana tersebut susah berlaku lebih dua bulan lalu.
Sebahagian mereka mendakwa hanya menerima RM300 bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala bakinya terpaksa menggunakan wang yang dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan untuk membaiki rumah yang rosak dalam kejadian berkenaan.
Lebih malang, masih terdapat mangsa bencana pada 19 Mac lalu itu terpaksa ‘bermandikan air hujan’ kerana tidak dapat membaiki bumbung rumah mereka sepenuhnya akibat kesempitan wang.
Seorang penduduk, Che Kamil Sulaiman, 61, berkata, dia tidak berupaya membaiki bumbung rumahnya yang rosak kerana masalah kewangan.
“Saya alami kerugian hampir RM13,000 dalam kejadian itu dan hanya mengharapkan bantuan dijanjikan kerajaan untuk membaiki rumah serta sistem pendawaian elektrik yang rosak.
“Tetapi sehingga kini bantuan yang dijanjikan tidak kunjung tiba menyebabkan saya sekeluarga terpaksa menggunakan bahan terbuang untuk menutup sementara bahagian bumbung rumah yang diterbangkan angin,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Salwa Abdul Jamil, 35, pula erkata, dia terkilan dengan kerajaan negeri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh membantu mangsa ribut di penempatan Felda ini.
“Memang banyak pihak tampil membantu selepas kejadian tetapi mereka memberi sumbangan dalam bentuk bahan makanan, sedangkan kami mahu bantuan bagi membaiki kerosakan rumah untuk selesa diduduki.
“Saya terpaksa meminjam daripada keluarga terdekat dan sumbangan individu untuk baiki bumbung rumah yang diduduki bersama suami, Mohd. Rosli Abd Rahman, 39, serta empat anak berusia antara 14 hingga 10 tahun.
Bagaimanapun, dia berharap dapat menerima sumbangan yang dijanjikan untuk menjelaskan bayaran upah tukang yang masih gagal dilunaskannya.
Seorang lagi mangsa ribut, Ibrahim Din,53, berkata, sehari selepas kejadian pelbagai pihak tampil membuat bancian jumlah kerosakan dialami dan berjanji menyalurkan bantuan secepat mungkin,namun sehingga kini janji itu tidak dikotakan.
“Saya terpaksa meminta zink dan kayu terpakai daripada jiran untuk membaiki bumbung yang rosak sebagai tempat berteduh kami sekeluarga daripada panas dan hujan.
“Tak tahulah di mana lagi kami nak mengadu untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung ekoran tidak mengetahui status sebenar bantuan yang bakal diterima” katanya.-UTUSAN ONLINE