Malaysia tidak perlu gopoh tandatangan

Malaysia tidak perlu gopoh tandatangan perjanjian pandemik

PESAKIT Covid-19 yang diwadkan seramai 628 orang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengkaji isi kandungan Perjanjian Pandemik Antarabangsa sebelum mempertimbangkan langkah menyertai negara-negara lain bagi mengelak ‘terjerat’ sehingga terpaksa menggadai kedaulatan kepada kuasa luar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber membe­ritahu, bagi urusan menandatangani piagam atau perjanjian yang kompleks, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas pelbagai pihak bagi memastikan usaha meratifikasinya ti­dak menjejaskan kedaulatan negara.

“Kesedaran perlu dibangkitkan kepada pentadbir dan orang awam akan kesan perjanjian tersebut. Kalau ada komentar daripada media atau penulis mengenai perkara ini, memang sangat baik sekali. Jangan sampai peringkat ditandatangani dahulu, baru heboh memberi reaksi dan salah menyalahkan (antara satu sama lain),” kata sumber di sini semalam.

Pada 1 Disember 2021, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berkata, Perhimpunan Majlis Kesihatan Sedunia bersetuju untuk memulakan proses glo­bal bagi merangka dan me­runding konvensyen, perjanjian atau instrumen antarabangsa lain di bawah Perlembagaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ia bagi mengukuhkan langkah pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik Covid-19.

Telunjuk

Perjanjian global untuk mengukuhkan pencegahan dan tindak balas terhadap wabak itu dijangka siap pada Mei 2024, dan difahamkan Britain, Kesatuan Eropah (EU) serta kira-kira 70 negara lain telah mendesak agar perjanjian antarabangsa diwujudkan bagi mengawal pandemik Covid-19.

Usaha kerajaan menyertai negara-negara yang menyokong perjanjian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat, dengan sebuah petisyen bertajuk ‘Desak Kerajaan Malaysia tolak global pandemic treaty’ ditandata­ngani 5,413 orang mulai 27 April sehingga 8 Mei lalu.

Sementara itu, bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd. Jaafar berkata, kerajaan tidak perlu mengikut telunjuk pihak luar dalam menentukan polisi negara sendiri bagi mengawal Covid-19.

“Perjanjian Pandemik Glo­bal ini mungkin mengandungi agenda halus WHO untuk menjejaskan kedaulatan negara kita. The devils are always in the details, maka kerajaan perlu berhati-hati sebelum menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa membabitkan WHO dan agenda pengawalan pandemik Covid-19.

“Ini sama seperti kontroversi membabitkan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Yang mana apabila diteliti, terdapat klausa dalam perjanjian tersebut yang akan menjejaskan kedaulatan Perlembagaan kita yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, wakil Malaysia akan ke Geneva bagi menghadiri mesyuarat yang membincangkan perkara itu, hujung bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN