Malaysia kesal ASEAN larang wakil PBB sertai rundingan di Myanmar - Utusan Malaysia

Malaysia kesal ASEAN larang wakil PBB sertai rundingan di Myanmar

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menzahirkan kekesalan atas tindakan Kemboja tidak membenarkan penglibatan wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam proses rundingan di Myanmar.

Perkara itu antara disentuh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika Mesyuarat Tidak Formal Menteri Luar ASEAN di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi.

Menerusi hantaran dalam laman sosialnya hari ini, beliau membangkitkan beberapa isu besar yang kesemuanya melibatkan krisis politik di Myanmar dan dilihat semakin bertambah sulit.

“Antaranya, kami amat kesal kerana Utusan Khas Pengerusi ASEAN, Prak Sokhonn melarang Utusan Khas PBB, Noeleen Heyzer menyertai proses tersebut,” katanya dalam nada kecewa.

Beliau tanpa berselindung menyelar Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN untuk sesi tahun ini sebab bertindak secara berseorangan dalam mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar.

Bagaimanapun, beliau secara diplomasi menyatakan sokongan Malaysia sepenuhnya kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja itu menunaikan mandat konsensus lima perkara ASEAN.

Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci, Saifuddin dipercayai merujuk tindakan kontroversi Sokhonn bertemu ketua junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing pada Mac lepas.

Lawatan yang dikecam pelbagai pihak itu hanya menyaksikan kehadiran Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi di samping Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin.

Lebih buruk, lawatan itu dianggap gagal apabila junta tetap angkuh menyekat wakil ASEAN bertemu pemimpin Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG) yang diasaskan Aung San Suu Kyi.

Tahun lalu, penyandang jawatan utusan khas itu dari Brunei selaku negara semasa Pengerusi ASEAN, Datuk Erywan Yusof turut dihalang bagi bertemu bekas pemimpin Myanmar tersebut.

Penerima Anugerah Keamanan Nobel 1991 itu digulingkan junta dalam rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 kerana didakwa menang secara taktik kotor dalam pilihan raya umum 2020.

Mengulas lanjut, Saifuddin secara terbuka menegur Sokhonn kerana selaku wakil ASEAN, sewajarnya semua pemegang taruh termasuk NUG dilibatkan bersama dalam setiap perundingan.
“Kita (ASEAN) tidak sepatutnya membenarkan sahaja Utusan Khas ini menentukan pula siapakah yang akan berhak dijemput hadir untuk menyertai sesi pertemuan berkenaan,” tegasnya.

Malahan, beliau menyarankan agar ada wakil daripada Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional (NUCC) yang lebih luas kerana dianggotai pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar sendiri.

Pada masa sama ujarnya, usaha kemanusiaan untuk rakyat negara itu hendaklah melibatkan aneka badan antarabangsa seperti PBB yang ada platform khusus bagi misi global tersebut.

Badan dunia itu jelas Saifuddin, memiliki Pejabat Hal Ehwal Koordinasi Kemanusiaan (OCHA) ditubuhkan sejak 1991 bagi penyaluran segala sumbangan ASEAN kepada rakyat Myanmar.

Mesyuarat tidak formal tersebut berlangsung menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari di sini yang bermula pada hari ini dan bakal dihoskan oleh Presiden Joe Biden.

Ini merupakan kali kedua kuasa besar dunia itu mengadakan persidangan tersebut selepas kali terakhir ketika era pentadbiran Barack Obama yang diadakan di California pada 2016 lalu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya