KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi sokongan penuh menjaga kebajikan warga pasukan khususnya membabitkan kalangan yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dengan berlangsung program sempena Sambutan Hari Autisme ini berupaya meningkatkan kesedaran ahli masyarakat supaya lebih peka dan prihatin terhadap komuniti autisme.
Menurut beliau, segala usaha murni yang dicurahkan dalam menyantuni anak istimewa ini dikurniakan sebaik-baik ganjaran dariNya.
“Saya difahamkan, dari awal pengoperasiannya (Pusat Autisme PDRM) pada Ogos 2020, seramai 18 kanak-kanak autisme berjaya menamatkan pembelajarannya di pusat ini, manakala 25 lagi kanak-kanak masih lagi menerima pendidikan intervensi awal.
“Saya begitu berbangga dengan para ibu bapa dan penjaga yang dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menempuhi ujian membesarkan anak syurga ini,” katanya semasa berucap di sini hari ini.
Terdahulu, Razarudin meluang masa dan menyantuni kanak-kanak autisme di Pusat Autisme Pengaman di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Kehadiran Razarudin diiringi Pengurus Besar Yayasan Pengaman Malaysia merangkap Pengurus Pusat Autisme Pengaman-Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program sempena Sambutan Hari Autisme itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas anak-anak autisme Pusat Autisme Pengaman, demonstrasi keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pertandingan mewarna.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Untuk info, program yang dijalankan di Pusat Autisme Pengaman ialah Program Intervensi Awal (EIP) yang memfokuskan kepada enam domain kemahiran asas iaitu latihan ke tandas, mengikut arahan, tugasan di meja, kemahiran meminta, bermain dan tingkah laku.
Program Intensif pula penambahbaikan dari segi akademik dan kesediaan ke sekolah.- UTUSAN








