PETALING JAYA: Penyerang utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Luqman Hakim Shamsudin yakin rakan sepasukannya akan bermain dengan penuh semangat dan berjiwa besar apabila menentang pasukan yang lebih hebat.
Luqman yang beraksi bersama kelab KV Kortrijk berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk bertemu Vietnam pada aksi separuh akhir hari ini kerana kekuatan skuad negara dan skuad Naga Emas itu boleh dikatakan hampir sama sahaja.
“Kita lawan sahaja, kekuatan mereka dan kita adalah sama. Bagi saya tiada masalah sebab pasukan kita pun kuat dan mempunyai semangat yang tinggi dan pemain berjiwa besar bila lawan pasukan yang kuat seperti Vietnam.
“Jadi saya yakin pemain-pemain kita akan bermain lebih bersemangat nanti,” katanya yang turut mengakui Vietnam mendapat sedikit kelebihan kerana beraksi di laman sendiri di Stadium My Dinh di hadapan puluhan ribu penyokong.
Mengulas lanjut, Luqman memberitahu, dia dan rakan-rakan sepasukan akan berjuang berhabis-habisan dalam misi memburu tiket ke final pada edisi Sukan SEA kali ini.
“Memang mereka (Vietnam) ada kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, tetapi saya rasa itu tidak akan memberi masalah kerana kita juga adalah pasukan yang kuat.
“Untuk rakan-rakan, jangan fikir perkara lain dan beri fokus sepenuhnya. Matlamat kita adalah untuk ke final dan menang pingat emas untuk bawa pulang ke Malaysia,” katanya.
Pada satu lagi aksi separuh akhir bola sepak Sukan SEA Vietnam akan menyaksikan juara kumpulan B iaitu Thailand akan berdepan naib juara kumpulan A, Indonesia. – UTUSAN