Jumlah kes penyakit HFMD meningkat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Jumlah kes penyakit HFMD meningkat di Pulau Pinang

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jumlah kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang sejak awal tahun ini setakat 7 Mei lalu mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 959 kes berbanding 102 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 8.4 kali ganda.

”Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah. 

”Bagi tahun ini, sebanyak 54 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh kluster dilaporkan pada 2021 yang mana ia adalah peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Norlela, setakat ini, jumlah kumulatif premis yang ditutup adalah 54 premis, namun, semua telah beroperasi seperti biasa yang mana pembukaan semula premis terakhir terlibat adalah pada 3 Mei lalu.

”Penyakit  HFMD adalah antara penyakit yang biasa dan sering kali berlaku dalam kalangan kanak-kanak. 

”Namun, ia merupakan salah satu masalah kesihatan awam di Malaysia amnya dan di Pulau Pinang khususnya kerana cenderung untuk menyebabkan berlakunya wabak,” katanya.

Dalam pada itu Norlela berkata, setakat ini tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD.

”Oleh itu, pencegahan adalah amat penting dan kita ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

”Antara langkah yang perlu diambil ialah basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan mereka yang terlibat dengan institusi penjagaan kanak-kanak agar sentiasa mengekalkan kebersihan di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah dan persekitarannya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN