Hormati hak Zuraida keluar parti - Annuar Musa - Utusan Malaysia

Hormati hak Zuraida keluar parti – Annuar Musa

ANNUAR Musa pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri K-KOMM dan Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif, di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), disifatkan hak individu dan urusan sebuah parti lain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai rakan sejawatan dalam Kabinet, beliau menganggap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sebagai seorang yang cukup aktif dan sangat berjaya menguruskan kementeriannya. 

“Beliau merupakan sahabat dalam gabungan kerajaan, sama-sama dalam jemaah menteri. Itu hak beliau dan menjadi urusan dalaman Bersatu yang kita harus menghormati,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Majlis Sekalung Budi Pengamal Media, Penggiat Seni dan Industri Kreatif, di sini hari ini.

Terdahulu, Zuraida memutuskan untuk menyertai PBM kerana mempercayai dengan perjuangan parti itu dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya.

Zuraida turut menjelaskan yang beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semua orang berhak membuat jajaran politik masing-masing sama ada secara berkumpulan iaitu antara parti dengan parti atau individu dengan parti mereka masing-masing. 

Justeru, beliau menganggap, tindakan ahli politik mengubah haluan sebagai satu perkara biasa dan setiap orang mesti ada sebab tersendiri apabila mereka membuat setiap keputusan. 

Pada masa sama beliau berpandangan, UMNO perlu bersikap terbuka sepanjang masa dan mesti menjadi tonggak kepada penyatuan mana-mana parti yang memperjuangkan perkara sama.

“UMNO berunding dan mencari muafakat kerana saya berpandangan UMNO bertanggungjawab menjadi parti penyatu kerana UMNO dilahirkan menyatukan berpuluh-puluh persatuan yang selama ini membawa haluan masing-masing.

“Yang perlu diutamakan, mana-mana parti yang ada hasrat perjuangan sama membela Melayu Islam harus bermuafakat dalam PRU15 akan datang dan kalau itu dilakukan ia mampu menjanjikan kemenangan besar kepada UMNO dan rakan sekutunya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya