PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan hari ini menyangkal dakwaan seorang diplomat Indonesia di Sabah kononnya dasar kabotaj Malaysia telah melanggar peraturan antarabangsa.
Sebaliknya, tohmahan Kaunselor Hal Ehwal Ekonomi Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, Muhammad Muhsinin Dolisada itu adalah amat tidak tepat. malah mengelirukan orang awam.
Menerusi kenyataan di sini, kementerian tersebut berkata, beliau tersilap apabila mengaitkan isu kapal kayu atau bersaiz kecil konon tidak diiktiraf Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Perdagangan itu yang berlaku antara perairan Tawau, Sabah dan Kalimantan, Indonesia tiada kaitan dengan peraturan badan dunia tersebut yang mengehadkan kepada kapal badan keluli.
“Sebaliknya, had kabotaj IMO berkait kepada kapal bukan konvensyen (NCV) dari Indonesia dan tiada kena-mengena dengan dasar kabotaj oleh Malaysia selama ini,” jelas kementerian itu.
Semalam, Muhammad dipetik oleh akhbar tempatan Daily Express Sabah mendakwa kononnya kapal kayu atau bersaiz kecil sebagai melanggar had polisi kabotaj serta tidak diiktiraf IMO.
Beliau membuat pendedahan yang tidak berasas itu ketika sesi pertemuan bersama-sama dengan anggota dari Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Sabah di Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa dasar kabotaj negara ini dikawal oleh Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan bukannya di bawah peraturan IMO.
Ia memperuntukkan pengecualian bagi kapal berdaftar Malaysia yang perlu berat bersih kurang 15 tan, ada lesen sah serta dimiliki atau disewakan kerajaan Malaysia, negeri atau pelabuhan.
“Daripada dasar kabotaj tersebut, isu ini cuma melibatkan pengiktirafan sijil perdagangan bagi NCV yang kebiasaannya dengan berat bawah 500 tan dari Indonesia,” tambah kenyataan itu.
Kapal itu kelazimannya menjalankan perdagangan pertukaran barang atau barter trade selaras memorandum persefahaman (MoU) Sijil Pengiktirafan Bersama NCV dimeterai pada 2018 lalu.
Menerusi MoU berkenaan, Malaysia memperakui sijil NCV yang ditetapkan pihak pentadbiran maritim pusat negara bendera masing-masing melibatkan lapan negara anggota ASEAN lain.
Sehubungan itu, Jabatan Laut Malaysia (JLM) membenarkan kemasukan NCV dari Indonesia ke pelabuhan negara ini dengan syarat mereka mematuhi dan memiliki sijil keselamatan sah.
Dokumen diperlukan tersebut seperti ditetapkan oleh Direktorat Jenderal Perhubungan Laut Indonesia untuk dibawa pengemudi NCV itu bagi pengurusan kapal dagang jenis barter trade.
“Justeru, pihak kementerian ini menjelaskan bahawa tiada halangan untuk kapal kecil antara Malaysia dan Indonesia, bahkan akan terus memantau isu itu agar tiada pelanggaran,” tegasnya.
Pihak JLM ujarnya, bagaimanapun sudah diarahkan untuk bertindak segera menjelaskan berhubung kekeliruan perkara dasar kabotaj Malaysia kepada konsulat jeneral Indonesia di Sabah.
Pada masa sama, kementerian sentiasa terbuka kepada perbincangan serta menjemput perwakilan asing atau pihak berkepentingan untuk berdialog bagi lebih memahami hal yang berkaitan.-UTUSAN ONLINE










