PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT) yang disiasat pihak berkuasa Perancis ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau sudah membaca laporan oleh pengendali KVMRT, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berhubung isu itu pada Mac lalu.
Malah, katanya, MRT telah menyatakan kesediaan untuk disiasat termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya terbuka dan kita tiada isu. Biarlah pihak berkuasa siasat perkara itu dan kita tidak gentar dengan apa sekali pun.
“Saya sudah baca dan ikuti perkembangan ini (dakwaan pihak berkuasa Perancis), jangan buat sebarang andaian selagi punca sebenar tidak diketahui,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.
Katanya, mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan akan diambil tindakan sewajarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, pihak berkuasa Perancis kini sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah melibatkan projek KVMRT.
Difahamkan, skandal itu melibatkan projek MRT2 bernilai kira-kira RM692 juta dengan tumpuan siasatan kepada sebuah syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis.
Projek MRT2 yang turut dikenali sebagai Laluan Putrajaya itu diluluskan oleh kerajaan pada 2015 dimana ia adalah fasa kedua KVMRT. –UTUSAN ONLINE