Buka semula zon aliran bebas di Wang Kelian - Utusan Malaysia

Buka semula zon aliran bebas di Wang Kelian

AZLAN MAN (kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri memohon kerajaan pusat mempertimbang untuk membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian bagi membangunkan semula ekonomi di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Wang Kelian sudah menjadi pekan mati sejak ‘free flow’ tersebut dimansuhkan manakala Wang Prachan di sebelah Thailand pula semakin rancak membangun.

Katanya, kawasan tersebut akan berdepan situasi sama dengan Bukit Kayu Hitam yang ketinggalan berbanding Danok di Thailand, jika dibiarkan berterusan.

“Danok maju, Bukit Kayu Hitam pula kekal macam dulu. Saya tidak bermaksud untuk memberitahu kepada pihak-pihak berkenaan mengenai dasar apa yang perlu diadakan. Namun, dasar kita perlu betul jika tidak mahu negara kita rugi.

“Saya berharap, apa yang berlaku di Wang Kelian dapat diperbetulkan supaya Malaysia, rakyat negeri ini dan juga penduduk setempat mendapat manfaat dan keuntungan nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, di sini hari ini.

Sementara itu, Azlan berkata, selain kerajaan negeri, pihak istana juga sudah beberapa kali menyuarakan cadangan sama bukan sahaja kepada kementerian terbabit, malah, kepada kepada Perdana Menteri,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yakin, Ismail Sabri sedang meneliti perkara itu dengan serius dan berharap bakal ada satu keputusan yang dapat memberi faedah kepada negara akan dibuat.

“Kami sensitif mengenai isu berkaitan keselamatan. Jadi, dalam masa yang sama, kita juga mencadangkan langkah-langkah keselamatan diperbaiki supaya risiko keselamatan yang kononnya ada sebelum ini tidak berlaku.

“Kita tidak mahu satu isu sahaja boleh menyebabkan satu negara, negeri dan kawasan menanggung akibatnya,” ujarnya.

Zon Aliran Bebas dimansuhkan pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang yang dilihat menjadi ancaman kepada negara.

Pemansuhan tersebut dibuat susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN