Ambil peluang cuti Hari Pekerja berbelanja raya  - Utusan Malaysia

Ambil peluang cuti Hari Pekerja berbelanja raya 

ORANG ramai membeli-belah untuk persiapan terakhir menjelang Aidilfitri di sebuah pasar raya di Amanjaya, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan beberapa hari lagi kian terasa apabila pusat beli-belah terus menjadi tumpuan berikutan umat Islam semakin sibuk berbelanja membeli barangan keperluan hari raya pada saat akhir.

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pusat beli belah di Amanjaya di sini mendapati orang ramai memanfaatkan cuti sempena Hari Pekerja untuk membeli-belah barangan keperluan yang diperlukan.

Seorang pekerja swasta, Nur Haida Ismail, 36, berkata, dia terpaksa membeli-belah di saat akhir kerana kekangan masa dan terpaksa memanfaatkan cuti sempena Hari Pekerja ini untuk membeli belah.

Ibu kepada dua orang anak ini berkata, dia keluar untuk membeli kasut raya anak-anaknya selain beberapa perkakas hiasan rumah.

“Walaupun tahu keadaan akan sesak tapi kami tiada pilihan kerana ini sahaja masa yang kami ada untuk membeli belah,” ujarnya ketika ditemui di sebuah pusat membeli-belah di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Amir Hamzah Othman, 42, berkata, dia bersama isteri, Siti Hajar Hussin, 39, dan tiga orang anak mereka baharu sahaja tiba dari Melaka untuk beraya di kampungnya di Kuala Ketil dekat sini.

Menurutnya,  mereka sekeluarga memang bercadang untuk membeli persiapan raya di sini kerana mahu merasai kemeriahan di kampung halaman setelah dua tahun tidak pulang ke kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seronok bila dapat rasa kemeriahan membeli-belah di kampung halaman sendiri setelah dua tahun kami hanya dapat beraya di perantauan sahaja,” ujarnya.

Seorang lagi pengujung, Siti Sarah Samsudin, 26, berkata, dia keluar membeli belah di saat akhir bagi membeli barangan dapur untuk memasak juadah hari raya.

“Saya datang untuk beli barang-barang dapur untuk memasak juadah hari raya nanti.

“Saat akhir baru dapat idea nak masak juadah apa untuk hari raya nanti jadi terpaksa juga bersesak-sesak dengan orang ramai,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN