Yadim lancar ‘Jom ke masjid’ - Utusan Malaysia

Yadim lancar ‘Jom ke masjid’

NASRUDIN Hassan (tengah) melancarkan program Kempen Jom Ke Masjid di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim ) melancarkan Program Kempen ‘Jom Ke Masjid‘ bagi menggalakkan umat Islam untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau di negara ini susulan fasa peralihan endemik.  

Bagi menguar-uarkan kempen tersebut yang juga sebahagian daripada pengisian program utama Ihya Ramadan Sebulan Yadim (Irsyad), sebanyak 14,000 pelekat kenderaan turut diedarkan di seluruh negara. 

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, kempen sebegini perlu digerakkan kepada masyarakat khususnya umat Islam di negara ini berikutan dua tahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19. 

“Jadi, kempen ini bertujuan menghidupkan semula dan mengimarahkan masjid serta surau sebab saya lihat, masjid telah kosong dalam pandemik. 

“Ramai terbiasa solat berjemaah di rumah dan dengan kempen ini, diharap sempena Ramadan ini, masyarakat Islam kembali ke masjid,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Program Kempen ‘Jom Ke Masjid’ di sini hari ini. 

Pada program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Yadim berupa kurma, makanan keperluan dan wang saku kepada kira-kira 30 hingga 40 pemandu teksi di sekitar Putrajaya. 

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, jika kempen tersebut mendapat sambutan termasuk di negeri-negeri, pihaknya akan menjalankan kempen fasa kedua. 

“Mungkin nanti sukarelawan akan pergi ke kawasan tumpuan mengedarkan pelekat kenderaan. Untuk fasa pertama, kita memfokuskan kepada mereka yang ingin bersama Yadim.

“Pelekat yang diedarkan ini apabila diletakkan di kenderaan, ia juga sebagai alat dakwah iaitu dakwah secara senyap mengajak umat Islam ke masjid,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN