SHAH ALAM: Pensyarah yang tular dalam media sosial akibat memperlekehkan mahasiswanya serta menyindir masyarakat B40 ‘direhatkan’ daripada mengajar berkuatkuasa pada hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah malam tadi.
UiTM dalam satu kenyataan memberitahu, LPU membuat keputusan untuk merehatkan Profesor Dr. Roshana Takim daripada tugas mengajar berkuat kuasa pada hari ini.
“UiTM menerusi Mesyuarat LPU yang diadakan pada 31 Mac 2022 memutuskan untuk merehatkan Profesor Dr. Roshana Takim daripada tugasan pengajaran mulai 1 April 2022 sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UiTM.
“Keputusan ini dibuat adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” katanya hari ini.
Difahamkan, kontrak pensyarah berkenaan masih berjalan dan sebarang perubahan ditentukan selepas siasatan selesai.
Terdahulu, UiTM membuat laporan polis laporan dokumen tiga muka surat mengenai laporan kronologi berhubung insiden video mengenai pensyarah tersebut dan mahasiswanya tular dalam media sosial.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor semalam memberitahu, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap insiden video pensyarah dan mahasiswanya tular dalam media sosial pada empat hari lalu.
Laporan tersebut dibuat selepas dokumen yang tular itu dikatakan sulit serta untuk melindungi institusi berkenaan, kakitangan dan mahasiswanya.
Dokumen adalah sulit untuk diusulkan dalam Mesyuarat LPU bagi memutuskan tindakan diambil berhubung insiden tersebut.
Justeru, UiTM dalam kenyataan sama menegaskan pihaknya memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warganya.
“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran (posting) yang mengelirukan,” tegasnya.
Jelasnya lagi, UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya.
“Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.
“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah (PRO-PENS) yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE