PUTRAJAYA: Mana-mana pengusaha stesen minyak tempatan yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing akan berdepan tindakan tegas.
Itu amaran tegas dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) susulan tular sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sudah mengarahkan siasatan dilakukan serta merta.
“Saya juga mengarahkan pemantauan lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama berdekatan sempadan negara bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
“Aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Ops Pantau 2022 hari ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya mengarahkan supaya syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura supaya mematuhi larangan penjualan Petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Alexander berkata, KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand juga diarahkan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ).
“Individu yang melanggar akta itu boleh didenda RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun (atau kedua-dua sekali) manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
“Orang ramai digalakkan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, tular mengenai sebuah kenderaan bernombor plat pendaftaran Singapura yang dikatakan mengisi minyak petrol menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki minyak Petrol RON 95 di sebuah stesen minyak di negara ini. –UTUSAN ONLINE