Tidak perlu gopoh bentang RUU – Hadi

Tidak perlu gopoh bentang RUU – Hadi

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu dilakukan secara tergopoh-gapah kerana tafsirannya perlu dilihat untuk menyelamatkan rakyat dan bukan demi kepentingan peribadi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penelitian dan perincian menyeluruh perlu dilakukan sebelum akta itu dibentangkan serta dibahaskan.

Katanya, isu melompat parti itu memerlukan tafsiran kerana perjuangan sebagai pemimpin adalah untuk menyelamatkan rakyat dan bukan demi kepen­tingan peribadi.

“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab­nya, kalau parti itu tidak betul tak kan nak ikut parti itu lagi,” katanya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas berpengalaman berdepan peristiwa lompat parti semasa menerajui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada 1959.

“Pas tangani masalah ini sudah lama, sebab itu kita sebut dalam bai’ah, mana-mana wakil rakyat yang lompat parti wajib meletakkan jawatan kalau tidak akan dilaknat oleh Allah.

“Memang undang-undang (lompat parti) ini memerlukan penelitian dan Pas juga tidak gopoh dalam isu ini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini semalam.

Sementara itu, Abdul Hadi menolak dakwaan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti, sebaliknya perbincangan sentiasa dilakukan engan komponen Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

“Tak timbul isu berlengah-lengah kerana Bersatu akan berbincang dengan kita dan rakan dalam PN termasuk Sarawak dan Sabah serta sebahagian UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, alasan penangguhan itu disebabkan lebih banyak kajian mengenai definisi ‘lompat parti’ perlu dilakukan adalah sesuatu yang pelik.

Menurut beliau, ini kerana idea RUU itu telah dijadikan syarat dalam perjanjian kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang.

“Pembentangan RUU anti lompat parti ini bukan sesuatu yang timbul tiba-tiba.

“Sepatutnya mereka (kerajaan) sudah menjangka apa yang akan dibentangkan

“Selain RUU berkenaan akan dibahas, sekiranya masih ada yang tidak kena, ia boleh ditolak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, alasan masih perlukan masa untuk kajian sebelum RUU dibentang sememangnya pelik.

Beliau mempertikaikan berapa lama tempoh yang diperlukan untuk menjalankan kajian sebelum RUU dapat dibentangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN