Tiada kenaikan tol

Tiada kenaikan tol

KERAJAAN mengumumkan bayaran tol empat lebuh raya di Lembah Klang kekal hingga tamat konsesi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Perdana Menteri berkata, keputusan tiada kenaikan kadar tol berkenaan dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.

Ia membabitkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Katanya, keputusan itu dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu sehingga tamat tempoh konsesi yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

“Keputusan dibuat setelah penelitian terperinci daripada semua aspek meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi ke­rajaan selaras dengan perjanjian konsesi serta beban kewa­ngan kerajaan.

“Penjimatan bersih bagi pem­­bayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bi­lion.

“Ini merupakan usaha berte­rusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi,” katanya dalam ke­nya­taan di sini, semalam.

Perdana Menteri menjelaskan, penjimatan itu boleh dimanfaatkan bagi program pem­bangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, penstrukturan dilaksanakan sejajar de­ngan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewa­ngan kepada kerajaan.

Sementara itu, Menteri Ka­nan Kerjaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan berkata, satu syarikat swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) telah menawarkan untuk membeli 100 peratus kesemua empat syarikat konsesi tersebut.

Katanya, melalui kaedah penstrukturan semula itu, tiada lagi pemegang saham yang berorientasikan keuntungan yang akan melibatkan pula­ngan kepada pemegang saham dalam apa jua bentuk (dividen).

“ALR dipengerusikan oleh Tan Sri Azlan Mohd. Zainol. Pemegang-pemegang saham sedia ada pula antaranya Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP), KWAP, PNBM dan Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburannya lebih awal daripada sepatutnya,” katanya.

Isu tol pernah dibangkitkan semasa di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan gabu­ngan tersebut akan mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding bagi mendapatkan harga terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi dengan matlamat akhir menghapuskan tol secara berperingkat.

Bagaimanapun, Perdana Men­teri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengulas perkara berkenaan berkata, perkara itu terkan­dung dalam manifesto PH. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN