SEREMBAN: Lagi kes terpedaya dengan Macau Scam. Kali ini melibatkan seorang warga emas yang kerugian lebih RM1 juta ditipu menggunakan modus operandi mendakwa mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, pada 21 Mac lalu, seorang wanita berusia 77 tahun dari daerah ini menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memaklumkan seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cyberjaya.
Wanita terbabit memberitahu mangsa mempunyai hutang syarikat atas nama mangsa sebanyak RM18,336 namun dinafikan warga emas berkenaan yang memberitahu dia adalah pesara kerajaan dan tidak mempunyai syarikat.
Pemanggil itu kemudian memberitahu akan menyambungkan panggilan tersebut dengan pegawai polis kononnya di IPK Kedah dan mangsa kemudian berhubung dengan individu mendakwa sebagai ‘Inspektor Fazli Yusuf’.
Aibee berkata, lelaki tersebut kemudian memaklumkan bahawa ada waran tangkap ke atas mangsa kerana syarikat yang ditubuhkan itu adalah untuk tujuan pengubahan wang haram.
“Mangsa menafikan perkara itu dan panggilan berkenaan disambungkan pula kepada seorang lelaki mendakwa sebagai ‘Datuk Koh Eng Guan’ dari Bahagian Risikan Bukit Aman. Lelaki tersebut memberitahu akan menyelesaikan masalah dihadapi mangsa.
“Lelaki berkenaan bertanyakan jumlah akaun bank mangsa dan wang yang berada di dalamnya. Mangsa memberikan kesemua butiran maklumat tersebut kepada lelaki terbabit.
“Mangsa turut diminta menghantar gambarnya dan kad pengenalan kerana diberitahu lelaki terbabit akan membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki bersama-sama mangsa dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada 22 Mac lalu, lelaki terbabit menerusi aplikasi WhatsApp menghantar dokumen kepada mangsa kononnya dari Mahkamah Persekutuan berkaitan penyerahan dan penyiasatan mahkamah ke atas semua aset atas namanya.
Kesemua wang mangsa di dalam akaun juga akan dimasukkan ke dalam Bank Negara kononnya untuk disiasat.
“Pada hari sama, mangsa ke sebuah bank di bandar ini dan memindahkan semua wangnya sebanyak RM727,774 ke dalam dua akaun diberikan lelaki terbabit. Mangsa kemudian menerima mesej dari lelaki tersebut yang memaklumkan terdapat juga pindahan wang mangsa ke beberapa akaun lain.
“Jumlah keseluruhan yang diambil dari akaun mangsa adalah sebanyak RM1,174,589 dari tarikh 21 Mac sehingga 18 April lalu. Mangsa kemudian memaklumkan perkara terbabit kepada anaknya tentang perkara ini dan anak mangsa memberitahu ibunya itu ditipu scammer,” katanya. – UTUSAN










