SPRM siasat Mohd. Nazlan, tapi tidak siasat Azam Baki? -Guan Eng - Utusan Malaysia

SPRM siasat Mohd. Nazlan, tapi tidak siasat Azam Baki? -Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika tiada tindakan sama daripada badan itu menyiasat Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki. 

Ia susulan Azam sebelum ini yang terpalit dengan kepentingan serta pemilikan saham dengan beberapa syarikat pada masa sama berstatus penjawat awam dan memegang jawatan tertinggi di dalam SPRM. 

“Berikutan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, soalan yang perlu diajukan..

“Mengapa SPRM gagal membuka serta-merta kertas siasatan ke atas Azam kerana melanggar undang-undang dalam pembelian berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, media tempatan melaporkan, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan yang didakwa mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya’. 

Mohd. Nazlan dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung laporan berkenaan. Beliau ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. 

Terdahulu, Azam yakin dan menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat. Beliau antara lain tidak melihatnya sebagai isu apabila membenarkan adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun Azam untuk membeli saham. 

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, penjawat awam boleh membeli saham dengan syarat tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa yang mana lebih rendah dalam tiap-tiap satu syarikat diperbadankan di Malaysia. 

Kegagalan mengisytiharkan harta boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 

Pegawai kerajaan juga secara langsung atau tidak langsung perlu mendapat kebenaran Ketua Setiausaha Kementerian atau Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum membeli dan memiliki saham. 

Bagaimanapun, pengamal undang-undang pula berpandangan, walaupun undang-undang memperuntukkan seseorang tidak boleh menggunakan akaun belian saham orang lain selain daripada pemilik akaun asal, namun, jika sudah memaklumkan kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), ia boleh dijadikan asas pembelaan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN