IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil alih siasatan berhubung dakwaan penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan tersebut dirujuk kepada SPRM kerana siasatan kes itu di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
“Saya mengesahkan satu laporan polis diterima daripada seorang individu tentang isu tersebut dan kita rujuk laporan itu kepada SPRM kerana melibatkan siasatan di bawah bidang kuasa mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya belum memanggil mana-mana individu untuk siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, setakat ini, pihaknya sedang melakukan kajian ke atas dokumen yang diperolehi daripada beberapa agensi berkaitan.
“Kita masih belum panggil lagi (individu) mahupun membuat apa-apa tangkapan. Setakat ini, pengumpulan bukti dan keterangan sedang dilakukan,” katanya.
Media pada 4 April lalu melaporkan, Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis dan menggesa siasatan dilakukan terhadap penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Isu penjualan tanah lapangan terbang itu timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa penjualan tanah itu berlaku ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan berkenaan. – UTUSAN










