Sejuta kenderaan masuk Johor sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

Sejuta kenderaan masuk Johor sempena Aidilfitri

KAMARUL Zaman Mamat menyampaikan cenderahati kepada seorang pemandu kenderaan sempena Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri 18 di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru di sini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dianggarkan lebih satu juta kenderaan dijangka memasuki negeri ini termasuk melalui pintu sempadan Johor-Singapura sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu membabitkan kenderaan yang memasuki Johor bagi tujuan pulang ke kampung serta aktiviti kunjung-mengunjung selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri.

Beliau berkata, keadaan dijangka sesak apabila kenderaan dari Kuala Lumpur dan negeri lain yang masuk ke negeri ini bertembung dengan kenderaan masuk dari Singapura.

“Ketika ini, 70,000 orang dengan melibatkan 35,000 kenderaan dari negara jiran itu masuk setiap hari dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.

“Jumlah maksimum kenderaan dari Singapura adalah 400,000 sehari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri ke-18 di Plaza Tol Skudai, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Jamaluddin Mohammad.

Mengenai Op Selamat dan Op Lancar di negeri ini, Kamarul Zaman memberitahu, 300 anggota polis trafik akan ditugaskan di 30 lokasi hotspot sering berlaku kesesakan termasuk lima daripadanya membabitkan jalan utama di daerah ini.

Katanya, cuti mereka turut dibekukan bagi melancarkan operasi itu selain akan menempatkan Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan berkenaan.

“Kita turut mengenal pasti 41 kawasan hotspot yang sering berlaku kemalangan terutama melibatkan Jalan Persekutuan dan lebuh raya.

“Antara daerah yang mempunyai kawasan hotspot tertinggi adalah di Batu Pahat dan purata jumlah kemalangan di negeri ini adalah 200 kes sehari dengan rekod dua kes kemalangan maut sehari,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman ketika berucap, mengingatkan orang ramai supaya melaporkan perancangan cuti kepada polis sebelum pulang ke kampung dengan mengisi borang maklumat balik kampung di balai-balai berhampiran.

Mereka juga katanya, boleh memuat turun borang itu melalui portal rasmi polis dan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) selain pemakluman boleh dibuat dengan menghubungi Hotline 999. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN