Saluran khas permohonan digital pembantu rumah - Utusan Malaysia

Saluran khas permohonan digital pembantu rumah

MEGAT FAIROUZ JUNAIDI MEGAT JUNID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu saluran khas permohonan digital pembantu rumah Indonesia wajar digunakan  bagi memastikan kebajikan dan keselamatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang bakal dibawa masuk ke negara ini terjamin.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, pembangunan sistem yang telus itu boleh memastikan kerja-kerja merekrut pembantu rumah melalui kerjasama perniagaan dengan perniagaan dapat berlangsung dengan baik tanpa unsur-unsur meragukan.

“PAPSMA mengalu-alukan perjanjian persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di negara ini, yang ditunggu-tunggu sejak tahun 2016.

“Bagaimanapun, majikan di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui proses, pembayaran, jaminan dan penggantian semula pekerja apabila kos pengambilan pekerja asing sudah semakin tinggi dalam sistem pengambilan pekerja asing yang baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 April lalu,  Malaysia dan Indonesia memeterai MoU itu yang ditandatangani Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.

MoU ini akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI akan dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan, mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

Lima inisiatif turut diumumkan dalam menjaga kebajikan pekerja dari sudut perlindungan sosial iaitu caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jaminan bayaran gaji melalui eWages iaitu bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan.

Pekerja juga diberikan cuti rehat satu hari seminggu, memperkenalkan aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian dan lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Dalam pada itu, PAPSMA turut menyambut baik inisiatif kerajaan dalam memastikan lesen ejen pengambilan pekerja asing adalah sah dan berdaftar  melibatkan kedua-dua buah negara.

Untuk itu, katanya, PAPSMA akan memastikan ejen-ejen pengambilan pekerja asing berdaftar di bawah persatuan akur dengan prosedur yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan majikan di Malaysia mendapatkan perkhidmatan baik dalam mendapatkan pembantu rumah Indonesia.

“Kami akan menunggu perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia khususnya Jabatan Tenaga Kerja untuk memulakan proses merekrut pekerja asing sementara kami menyediakan perkhidmatan untuk membantu majikan dengan prosedur yang lengkap.

“Majikan terpaksa menunggu sehingga Jun atau Julai untuk kemasukan pertama pekerja asing Indonesia,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya