Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diperluas pelajar

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diperluas pelajar bukan kelolaan KPT

ANNUAR Musa (tengah) bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (dua dari kiri) melancarkan Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berhasrat memperluaskan Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar selain daripada kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau melihat program itu boleh diperluaskan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, tawaran itu bagaimanapun bergantung kepada perolehan unit tablet dan bekalan yang diterima.

“Sekiranya ada ruang, program ini kita akan diperluaskan lagi kepada kelompok pelajar lain selain pelajar kelolaan KPT,” katanya dalam sidang akhbar pra-pelancaran program itu hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa peranti yang diagihkan ini adalah berkualiti tinggi dan berjenama premium dalam pasaran.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengumumkan spesifikasi dan jenama tablet itu minggu hadapan pada satu program bual bicara Isnin depan.

“Malah spesifikasi tablet ini juga menawarkan kemampuan optimum bagi kesinambungan dan juga aplikasi asas berkaitan pendidikan. Buat masa ini, Kementerian Kewangan (MOF) dalam fasa akhir memilih jenama peranti dan pembekal dan ia dijangka selesai minggu depan,” katanya.

Katanya, permohonan bagi program itu akan di buka mulai esok menerusi portal, https://perantisiswa.kkmm.gov.my dan agihan fasa pertama akan dibuat seawal Jun depan.

Jelasnya lagi, peranti itu akan diberikan secara ‘Konsep Guna Pakai’ dan perlu diserahkan semula setelah tamat pengajian, bertujuan mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain.

Annuar berkata, beliau berharap pelajar yang ingin memohon program itu adalah dalam kalangan mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN