PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki Aksan tidak melihat popularitinya sebagai artis dapat membantu memberikannya kelebihan untuk menang dalam Pemilihan PKR 2022 bagi Cabang Setiawangsa.
Sebaliknya, beliau berpendapat, kejujuran niat untuk memberikan manfaat kepada masyarakat itu lebih utama dalam diri setiap calon bagi membolehkan mereka dipilih dalam pemilihan nanti.
“Populariti sebagai artis tak menjanjikan apa-apa, tetapi kejujuran niat untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang lebih penting dan saya rasa itu saya telah buktikan selama ini dengan kerja-kerja (sosial) di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang saya lakukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Pada 1 April lalu, Afdlin Shauki membuat kejutan apabila mula serius bergiat aktif dalam politik dengan menyertai PKR bersama penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Kelmarin, Afdlin Shauki menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Cabang Setiawangsa yang sebelum ini dimenangi Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Afdlin Shauki berkata, Cabang Setiawangsa perlu melalui rejuvenasi yang mana memerlukan satu tenaga dan usaha baharu untuk memberi perhatian yang lebih terutamanya kepada permasalahan penduduk Setiawangsa.
Justeru katanya, penstrukturan yang lebih jelas dapat membantu memastikan tenaga yang diperlukan untuk memberi faedah dan manfaat kepada penduduk semua dalam keadaan bersedia dan komited.
“Saya bukan orang politik. Saya buat kerja berdasarkan hati dan keprihatinan kepada permasalahan penduduk kawasan ini yang sudah saya diami selama lebih 20 tahun.
“Jawatankuasa (JK) Cabang sebelum ini sudah melakukan yang terbaik dan termampu, akan tetapi kami rasa JK baru boleh menambah baik apa yang dilakukan dan memberi khidmat yang diperlukan penduduk Parlimen Setiawangsa.
“Ia adalah untuk memperbaiki hubungan dengan penduduk Setiawangsa yang kami rasa boleh diperbaiki,” jelasnya. – UTUSAN










