Polis diminta siasat dua pemilik akaun media sosial hina raja, PM - Utusan Malaysia

Polis diminta siasat dua pemilik akaun media sosial hina raja, PM

KHALIL Idham Lim Abdullah membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun media sosial di Balai Bagan Serai, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis diminta menyiasat dua pemilik akaun media sosial kerana membuat kenyataan berunsur hasutan dan menghina institusi raja serta Perdana Menteri sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.

Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Khalil Idham Lim Abdullah berkata, dua laporan polis dibuat melibatkan hantaran yang dimuat naik Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Khairi Zulfadhli yang didapati amat berbahaya kerana beliau merupakan seorang individu berpengaruh. 

Katanya, hantaran Khairi itu menyebut: “Ringgit jatuh, ibu kota banjir, kerajaan korup, pencuri makan dengan raja, ayam sekilo 9 ringgit, rumah mahal, gaji murah, Menteri beruk, Perdana Menteri lembik. Kadang-kadang aku kecewa dengan negara sendiri”.

“Saya percaya kenyataan Khairi Zulfadhli yang juga seorang Imam Muda ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Di bawah seksyen ini antaranya menyebut seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain  adalah melakukan suatu kesalahan. 

“Saya juga percaya kenyataan Khairi Zulfadhli ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana kata-kata begini berpotensi untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong mahupun di bawah mana-mana akta lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kenyataan Khairi Zulfadhli ini adalah berbahaya memandangkan beliau seorang yang berpengaruh di mana ia telah disebar luas dalam media sosial dengan mendapat 37,100 likes, 26,200 retweets dan 591 quote tweets.

Khalil Idham Lim turut membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook dan TikTok Azlan Adnan yang memuat naik satu rakaman video bertajuk “Message to Ismail Sabri” dan “Message to Ismail Sabri – resign now!”

Katanya, dalam kenyataan itu antara lain menyebut dengan kata-kata cacian kepada Perdana Menteri sekali gus beliau percaya kenyataan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kenyataan beliau ini adalah merbahaya ia telah disebar luas dalam media sosial. Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya.

“Kedua-dua hantaran individu-individu ini saya anggap satu budaya tidak sihat yang perlu diambil tindakan oleh pihak berwajib dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN