PETALING JAYA: Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan masih belum cukup untuk mengekang amalan lompat parti dengan tanpa disertakan satu undang-undang khusus untuk menyekat perbuatan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti perlu dibuat secara menyeluruh dengan melibatkan sama Perkara 48 yang berkisar soal hilang kelayakan Ahli Parlimen.
Beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said agar Perkara 48 dipinda, di samping pindaan Perkara 10 perlu disertai dengan undang-undang Anti Lompat Parti.
“Sekali pun Perkara 10 berjaya dipinda majoriti Dewan Rakyat, namun belum cukup mampu untuk mengekang amalan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat tanpa disertakan satu undang-undang menyekat perbuatan itu.
“Jadi apa tujuan undang-undang ini dipinda? Ia tidak lain untuk menggubal RUU (Rang Undang-Undang) Anti Lompat sebab kalau Perkara 10 berjaya dipinda, ia tidak langsung boleh halang wakil rakyat daripada lompat parti,” jelasnya.
Sidang Khas Dewan Rakyat semalam menyaksikan pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Perkara 10(1)(c), iaitu mengenai kebebasan berpersatuan.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat sebaliknya hanya membabitkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Ini bagi membolehkan undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, terdapat pihak yang tidak mendapat kata konsensus berhubung taksiran ‘lompat parti’ menjadi faktor penangguhan RUU Anti Lompat termasuk merangkumi pindaan Perkara 48.
“Ada pihak yang mengatakan wakil rakyat dipecat keahlian parti tidak dikira lompat parti, ada pula berpandangan. Jadi perkara ini menjadi polemik ke arah penggubalan undang-undang ini, maka ia perlu diselesaikan sebelum RUU ini dibentangkan kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow mencadangkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada pakar perundangan bagi meneliti cadangan akta melarang wakil rakyat yang telah dipilih daripada melompat parti.
Jelasnya, semua pihak selepas ini boleh duduk berbincang bagi menjayakan cadangan untuk mewujudkan sebuah akta itu setelah pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berjaya diluluskan.
“Melalui undang-undang terbabit, sekurang-kurangnya syarat boleh diberikan kepada mana-mana wakil rakyat untuk membenarkan mereka bertukar parti selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi kerusi telah dimenangi oleh mereka pada pilihan raya lalu.
“Cadangan bagi mewujudkan peruntukan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini boleh dipertimbangkan dengan serius demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta bagi mengelakkan negara kita menjadi kucar-kacir akibat daripada drama lompat parti yang tidak berkesudahan ini,” jelasnya. – UTUSAN










