Pencarum serbu pejabat KWSP mohon keluar RM10,000 - Utusan Malaysia

Pencarum serbu pejabat KWSP mohon keluar RM10,000

kwsp
Pencarum menyerbu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi menguruskan permohonan pengeluaran khas RM10,000 yang boleh dibuat bermula semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut dan pejabat cawangan negeri-negeri diserbu para pencarum semalam bagi membuat permohonan pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai tiba seawal pukul 8 pagi, namun keadaan terkawal dengan pencarum mematuhi prosedur yang ditetapkan dan pemantauan yang dilakukan oleh pejabat pengurusan KWSP masing-masing.

Kebanyakan mereka hadir bagi membuka aplikasi i-Akaun KWSP dan mengemaskini nombor telefon baharu bagi membuat semakan baki simpanan untuk membolehkan mereka memohon pengeluaran itu di atas talian.

Kerajaan sebelum ini bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 yang boleh dibuat mulai semalam.

Pencarum boleh mengeluarkan simpanan mereka melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my, yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun.

Sementara itu, media sosial turut dibanjiri perkongsian orang ramai yang selesai mendaftar permohonan pengeluaran khas RM10,000 itu.

Malah sejak pukul 9 malam semalam orang ramai telah mula mengisi borang berkaitan apabila permohonan boleh diakses.

Seorang netizen menggunakan nama Jef berkongsikan dia selesai mendaftar permohonan pengeluaran khas itu semalam.

“Terkejut pula tadi tekan aplikasi i-Akaun KWSP terus daftar masuk dan diberi nombor pas pengesahan transaksi (OTP), lepas tekan terus daftar dengan gembiranya. Syukur amin sudah berjaya mendaftar, tak payah tunggu malam lagi dah,” katanya.

Seorang lagi pengguna menggunakan nama Zainal Abidin juga melahirkan rasa syukur kepada semua yang berjuang dalam membenarkan pengeluaran khas itu.

Katanya, pengeluaran itu merupakan satu berita gembira kepada mereka yang terjejas dan amat memerlukan dalam kehidupan seharian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN