Pemuda kudung tidak kekok goreng mi, kuetiau di bazar Ramadan

Pemuda kudung tidak kekok goreng mi, kuetiau di bazar Ramadan

MUHAMAD Saiful Salleh yang kudung sebelah tangan lincah menggoreng mi dan kuetiau di bazar Ramadan di Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan, Kelantan. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Muhamad Saiful Salleh, 33, kudung sebelah tangan, namun, aksinya menggoreng kuetiau dan mi di gerai setiap hari tanpa rasa kekok menarik perhatian pengunjung di Bazar Ramadan Pusat Sivik, di sini.

Setiap hari, pemuda kurang upaya dari Kampung Sungai Kepa di sini itu, gigih menggoreng sekurang-kurangnya 10 kuali atau 50 kilogram kuetiau dan mi untuk dijual sebagai juadah berbuka puasa.

Muhamad Saiful berkata, kekurangan pada diri tidak menghalang dia mencari rezeki halal dengan cara berniaga kuetiau dan mi goreng di pasar minggu dan bazar Ramadan sejak 15 tahun lalu.

“Saya tidak pernah menggunakan kecacatan fizikal pada diri untuk menagih simpati orang lain, sebaliknya saya kuatkan semangat untuk bekerja macam orang lain yang sempurna fizikal.

“Hasil berniaga ini, saya mampu menyara diri sendiri dan ibu, Mariah Che Soh, 63, yang menghidap penyakit kronik, selain berjaya membeli kenderaan sendiri dan menggaji empat pekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Bercerita lanjut, Muhamad Saiful berkata, tangan kirinya terpaksa dipotong hingga paras bahu akibat terkena jangkitan kuman selepas terbabit dalam kemalangan ketika bermain bola bersama rakan, kira-kira 13 tahun lalu.

Katanya, selepas tamat belajar di tingkatan lima, dia mencari pengalaman bekerja sebagai pembantu di pasar malam sebelum berjaya membuka perniagaan sendiri.

“Pada Ramadan kali ini, sambutan amat menggalakkan apabila saya perlu menggoreng 10 kuali atau 50 kilogram mi dan kuetiau setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Pada hari pertama berniaga di bazar Ramadan, kami mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM2,000,” katanya.

Selain menjual masakan panas seperti kuetiau, mi dan maggi goreng dengan harga serendah RM4 sebekas, Muhamad Saifil turut menjual 10 jenis aneka air balang.

“Saya ingin menyeru golongan OKU seperti saya supaya tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk malas bekerja dan hanya mengharapkan simpati orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN