KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menetapkan pelan tindakan serta strategi pelaksanaan bagi tahun depan sebaik sahaja Belanjawan 2026 diluluskan di Dewan Rakyat pada minggu lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sudah mengadakan sesi pemukiman bagi menyusun perancangan pelaksanaan bersama semua jabatan dan agensi di bawah KKR.
Menurut beliau, pihaknya juga telah memohon tarikh untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentangkan perincian perancangan tersebut.
“Kami ingin berkongsi secara langsung dengan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) mengenai apa yang telah disediakan, termasuk bagaimana KKR dan agensi-agensi akan melaksanakan peruntukan bajet serta game plan lengkap untuk tahun 2026.
“Beliau telah bersetuju dan akan memberikan tarikh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. – UTUSAN










