Pelajar tingkatan lima antara dua suspek penipuan jual lesen memandu palsu - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan lima antara dua suspek penipuan jual lesen memandu palsu

ANTARA barangan digunakan dua ahli sindiket penipuan menjual lesen memandu palsu yang ditahan di Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang pelajar sekolah di sebuah rumah di Durian Tunggal, Melaka, kelmarin kerana disyaki terbabit sindiket penipuan menjual lesen memandu palsu.

Kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Cheras dalam serbuan pada pukul 10.05 malam itu.

Ketua Jabatan JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 40 tahun membabitkan kerugian RM490.

Katanya, mangsa mendakwa melihat iklan di Facebook menawarkan perkhidmatan membuat lesen memandu tanpa melalui proses Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa lalu.

“Pengadu kemudian menghubungi nombor tertera melalui aplikasi WhatsApp dan dalam urusan itu, mangsa dijanjikan lesen memandu dengan bayaran RM490.

“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek masih meminta bayaran tambahan dengan pelbagai alasan. Curiga dengan suspek, pengadu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata,  polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses lesen palsu.

Ujar beliau, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak 2016 dan seorang suspek masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Dua suspek itu direman tiga hari berakhir esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan lesen memandu melalui kaedah betul dan sah,” ujarnya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599), talian WhatsApp (013-2111 222), mana-mana balai polis berdekatan atau layari laman web semakmule.rmp.gov.my.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN