Op Pagar Laut sepanjang musim raya

Op Pagar Laut sepanjang musim raya

maritim
SYED Nor Adli Syed Ab. Rahman (kiri) menyampaikan taklimat kepada anggota unit bot peronda di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini -TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR  PUTEH: Menyedari musim perayaan sering digunakan oleh penyeludup untuk meningkatkan kegiatan haram mereka, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan melaksanakan Op Pagar Laut bagi menggempur kegiatan itu.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, operasi itu diadakan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas Aidilfitri di perairan negeri ini.

“Berdasarkan pengalaman lalu, operasi khas yang dinamakan Op Pagar Laut yang bermula sejak 14 April lalu digerakkan dengan penempatan anggota dan pelbagai aset Maritim Malaysia bagi tempoh 24 jam secara bergilir-gilir.

“Fokus utama Op Pagar Laut ialah memastikan pencerobohan nelayan asing di sekitar pelantar minyak tidak berlaku, tidak penyeludupan senjata api, dadah dan pemerdagangan manusia dalam tempoh musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena pelancaran operasi khas  berkenaan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia  di Tok  Bali, di sini hari  ini.

Tambah Syed Nor Adli, sepanjang Op Pagar Laut, 70 peratus daripada 160 pegawai dan anggota Maritim Malaysia di Tok Bali dan Tumpat akan mengendalikan sebuah kapal dan tiga bot peronda sepanjang masa.

“Maritim Malaysia juga akan meninjau pantai peranginan utama di Kelantan iaitu Pantai Sri Tujuh di Tumpat, Pantai  Cahaya Bulan di Kota Bharu, Pantai Irama, Bachok, Pantai Bisikan Bayu dan Tok Bali di Pasir  Puteh,” ujarnya.

Kata beliau, Maritim Malaysia berjaya merampas sejumlah RM13.4 juta pelbagai barangan seludup menerusi Op Pagar Laut bagi tempoh 2018 sehingga sekarang.

Katanya, rampasan terbesar sepanjang Op Pagar Laut ialah penahanan 11 bot nelayan asing Vietnam melibatkan nilai rampasan RM12.5 juta, selain cubaan menyeludup rokok bernilai RM900,000, dua tahun lalu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN