GEORGETOWN: Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa mempercepatkan pertimbangan dan kelulusan terhadap permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memanggil tender terbuka secara request-for-proposal (RFP) berkaitan perkhidmatan teksi air di negeri itu.
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nurhafiza Huda Idris berkata, kerajaan negeri telah merancang menyediakan perkhidmatan teksi air di seperti yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP).
Jelasnya, pada 15 September 2021, kerajaan negeri melalui MBPP telah menghantar satu surat kepada MOT untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan bagi memanggil tender terbuka secara RFP tersebut.
“RFP itu bertujuan untuk mendapatkan cadangan menyeluruh daripada syarikat yang berminat bagi menyediakan dan mengoperasikan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang.
“Walaupun sudah lebih enam bulan, MBPP masih belum mendapat maklum balas mahupun kelulusan untuk mengadakan sebarang perbincangan daripada MOT,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan teksi air adalah diperlukan sebagai satu mod pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.
Bagaimanapun ujar beliau, projek itu tidak dapat dilaksanakan di peringkat negeri kerana tertakluk kepada bidang kuasa MOT seperti yang termaktub dalam Jadual 9, Akta Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi sebagai Ahli Majlis MBPP yang turut mewakili Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, saya menggesa MOT mempercepatkan pertimbangan terhadap permohonan tersebut demi kepentingan rakyat Pulau Pinang,” katanya. –UTUSAN ONLINE