Mara taja 1,500 pelajar ke luar negara tahun ini - Utusan Malaysia

Mara taja 1,500 pelajar ke luar negara tahun ini

MAHDZIR Khalid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada Program Ceria Ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati TNB di Kuala Nerang, Padang Terap, semalam. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Sebanyak 1,500 pelajar menerima tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian tersebut dalam beberapa bidang.

“Mara meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk belajar di luar negara.

“Program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini diperkenalkan sejak 50 tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceria Ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati TNB di Kolej Mara di sini semalam.

Pada majlis itu, Mahdzir menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar tingkatan enam daripada tiga sekolah di daerah Padang Terap.

Selain itu, dua buah keluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB.

Mahdzir memberitahu, Mara juga  tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik Covid-19 memuncak dua tahun lalu kerana kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

“Sekarang, tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab pelajar mengikuti pengajian melalui online, cuma, kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu, tetapi dia belajar secara online,” jelasnya.

Menyentuh tentang pembayaran balik wang tajaan kepada pelajar, Mahdzir berkata,  Mara tidak mempunyai masalah berkaitan hal tersebut selain tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi berkenaan.

“Sebaliknya pelajar tajaan Mara yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi,” katanya.

Ketika ini, tambahnya, seramai 3,391 orang pelajar tajaan MARA melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, menurutnya, seramai 1,422 orang pelajar berada di United Kingdom. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN