PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera memansuhkan permit import (AP) ayam yang didapati banyak mencetuskan pelbagai masalah termasuk menjejaskan industri ternakan tempatan.
Mekanisme tersebut bukan sahaja membuka ruang disalahgunakan oleh pihak berkepentingan untuk mengaut keuntungan atas angin seperti berlaku dalam perniagaan kereta import, malah ia tidak langsung membantu untuk menurunkan harga ayam dalam pasaran pada masa ini.
Selain merugikan negara dari segi tukaran wang asing, ayam import yang telah diproses dalam bentuk sejuk beku itu turut diragui kualitinya serta pematuhan piawaian standard halal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Generasi Transformasi Ruminan, Nordin Mat menegaskan, pemberian AP tidak akan menyelesaikan isu kartel, sebaliknya memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk memonopoli pasaran jualan ayam.
Katanya, masalah kartel ayam berlaku selama ini berpunca akibat pengagihan AP tidak telus apabila diberi kepada syarikat tiada berkelayakan demi mengaut keuntungan atas angin.
“Isu kenaikan harga ayam tidak akan berlaku jika tiada pihak yang memonopoli pasaran sehingga perkara itu membebankan kehidupan rakyat kerana terpaksa membeli pada harga lebih tinggi.
“Bukan sahaja AP dan pengeluar, malah isu kartel ini wajib ditangani di peringkat kerajaan sendiri supaya tiada wujud tangan-tangan yang membenarkan perkara seumpama ini berlaku.
“Selain menghapus atau mengkaji mekanisme pemberian AP, kita perlu melihat pihak terlibat mengeluarkan permit ini bagi memastikan tiada salah laku dan pelanggaran integriti,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan sebanyak lima kartel didakwa telah berpuluh tahun menguasai keseluruhan rantaian industri ayam di negara ini dan bermaharajalela memonopoli sektor penting makanan negara itu yang bernilai RM10 bilion setiap tahun itu.
Sumber dalaman industri mendakwa, kartel-kartel ini menguasai hampir 70 peratus daripada keseluruhan bekalan 2.2 juta ekor di pasaran setiap hari pada masa ini, iaitu kira-kira 1.5 juta ekor ayam sehingga banyak pihak mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah lembaga khas bagi mengawal selia industri berkenaan seperti dilakukan terhadap perusahaan sawit dan perikanan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Peng berkata, industri ternakan tempatan terancam dan berisiko menutup perniagaan jika pemberian AP dikekalkan.
Katanya, kerajaan sepatutnya membantu penternak tempatan dan bukan memberi tekanan kepada golongan berkenaan dengan hanya bergantung kepada produk import.
“AP perlu dibatalkan. Kerajaan mesti menyokong proses pemulihan penternak tempatan. Kalau kita meneruskan import ia akan menyebabkan penternak hilang pekerjaan yang akhirnya menyebabkan tiada lagi industri ternakan tempatan,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, seorang penternak, Mohd. Firdaus Mat Saad berkata, harga ayam di pasaran boleh stabil dengan menghentikan aktiviti mengimport yang dilaksanakan sebelum ini untuk mengatasi kekurangan bekalan makanan dalam negara.
Dia berkata, rata-rata ayam import kini lebih mahal bermula dari RM8 hingga RM9 berbanding RM6 hingga RM7 ayam tempatan, menyebabkan wujud ketidakstabilan harga di pasaran.
“Kerajaan bagi AP kepada pengusaha tempatan untuk import ayam, tapi ada yang tak nak import pun sebab rugi bila ayam jadi mahal. Ayam gunting boleh lagi diimport tapi harga seekor ayam jauh lebih mahal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) enggan mengulas berhubung siasatan terhadap isu persaingan dalam industri ayam dan telur berikutan arahan yang diterima daripada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia, jurucakap suruhanjaya itu berkata, MyCC mengambil maklum berkenaan dakwaan wujud kartel dalam industri ayam seperti dilaporkan akhbar ini. – UTUSAN










