Malaysia dikepung oleh kartel makanan? - Utusan Malaysia

Malaysia dikepung oleh kartel makanan?

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum siasatan ke atas kartel makanan kerana kewujudan mereka dalam sistem pengedaran makanan akan menjejaskan lagi keadaan tidak terjamin makanan negara yang dialami selama beberapa dekad.

Dalam masa sama, Presidennya, Mohideen Abdul Kader menyeru kerajaan menghapuskan permit import (AP) untuk barangan keperluan kerana monopoli sedemikian boleh menyebabkan kenaikan harga akibat daripada pencatutan oleh pemegang AP. 

Jelasnya, keputusan menghapuskan AP juga akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran, sekali gus melindungi kepentingan pengguna.

Sementara itu, beliau turut menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memenuhi tanggungjawabnya untuk meningkatkan pemasaran hasil pertanian, memaksimumkan pulangan kepada petani dan memberi nilai kepada pengguna.

“FAMA sepatutnya mengambil bahagian dalam mekanisme pengedaran untuk menjadikannya lebih cekap daripada menyerahkannya kepada orang tengah untuk mengisi peranan itu. 

“Sehingga kini, FAMA secara umumnya gagal dalam usahanya itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohideen, antara kelemahan utama Malaysia adalah mengimport hampir 60 peratus makanan yang diperlukan menyebabkan negara sangat terdedah kepada kekurangan makanan.

Situasi itu, jelas beliau, turut menyebabkan harga makanan meningkat dan nilai ringgit yang lemah memburukkan lagi keadaan kerana import makanan diurus niaga dalam mata wang asing.

“Keadaan tidak terjamin makanan adalah akibat kurangnya penekanan terhadap pengeluaran makanan selama beberapa dekad memandangkan Malaysia memberi tumpuan kepada pelbagai bentuk ‘pembangunan’ sehingga mengabaikan dasar pertanian,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menarik perhatian mengenai dakwaan dibuat Persatuan Pekebun-Pekebun Melayu Cameron Highlands sebelum ini yang mendakwa harga sayur-sayuran tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana peniaga sayur tetapi oleh kartel.

Malah, terdapat dakwaan mana-mana peniaga yang menjual di bawah harga pasaran akan dijauhi oleh peniaga lain dan akhirnya rakan peniaga akan mencari jalan untuk memaksa orang itu keluar dari pasaran.

“Adakah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiasat dakwaan tersebut? 

“Ini adalah satu dakwaan yang sangat serius kerana ia menunjukkan harga makanan dimanipulasi oleh kartel,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN