Malang bertimpa buat remaja bukan warganegara - Utusan Malaysia

Malang bertimpa buat remaja bukan warganegara

CHAN Kah Kei (kanan) merayu sumbangan orang ramai untuk menjalani pembedahan memasukkan implan koklea elektronik ke telinganya bagi mengelakkan kecacatan kekal yang menelan kos sehingga RM104,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Tidak seperti kebanyakan remaja lain, Chan Kah Kei, 18, tidak pernah merasai belaian dan kasih sayang daripada kedua orang tuanya.

Ditinggalkan ibu bapanya yang merupakan rakyat tempatan kepada pengasuh, Wong Soon Chong, 53, sejak kecil, Kah Kei juga masih menunggu keputusan permohonan taraf kewarganegaraannya yang sehingga kini belum diketahui.

Difahamkan, walaupun lahir di Malaysia, sijil kelahirannya telah diambil semasa proses permohonan kad pengenalan dan sejak itu, Kah Kei dikategorikan sebagai individu ‘bukan’ warganegara.

Ketika ini, malang bertimpa buat remaja itu apabila deria pendengaran di bahagian telinga kanannya pula disahkan ‘lumpuh’ dan tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba.

Sehubungan itu, untuk memulihkan pendengarannya, satu rawatan dengan memasukkan implan koklea elektronik ke telinga Kah Kei perlu dilakukan, namun, kos rawatan itu menelan belanja sehingga RM104,000.

Dalam pada itu, Soon Chong memberitahu, sejak berusia tiga tahun, Kah Kei tidak mampu bertutur seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Kata Soon Chong, anak angkatnya itu kemudian dikesan menghadapi masalah pendengaran selepas menjalani pemeriksaan lanjut di sebuah hospital ketika memasuki tabika dan dinasihatkan menggunakan alat bantuan pendengaran.

“Saya telah bertungkus-lumus dan mencuba beberapa kali untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan buat Kah Kei bagi memudahkan proses rawatannya, namun gagal.

“Ketika ini, hanya ada satu salinan surat permohonan yang membuktikan kewarganegaraannya sebagai rujukan dan saya berharap Kah Kei memperoleh kerakyatannya secepat mungkin bagi membolehkan dia menikmati kehidupannya seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya di sini semalam.

Bagi tujuan rawatan Kah Kei pula, Soon Chong yang menjual kuih-muih secara kecil-kecilan bagaimanapun hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM15,000 dan jumlah itu sememangnya jauh daripada mencukupi untuk menampung kos rawatan remaja terbabit.

Sehubungan itu, wanita tersebut menghubungi pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare bagi membantunya mengumpul dana sebanyak RM89,000 bagi membolehkan rawatan berkenaan disegerakan.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, jika rawatan implan tersebut tidak dapat dilakukan secepat mungkin, remaja itu dikhuatiri akan berdepan masalah pendengaran lebih teruk selepas ini termasuk saraf pendengarannya akan menjadi semakin ‘layu’.

“Kah Kei juga perlu mengambil satu peperiksaan penting pada masa ini dan implan koklea ini amat mustahak untuk membantunya menduduki peperiksaan tersebut sekali gus meneruskan pelajaran dan mencari nafkah hidup,” katanya.

Justeru, Sui Hau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3193433435 atau melalui laman sesawang www.onehopecharity.org dan sebagainya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN