Lelaki Balikpapan buat kayuhan solo ke Mekah - Utusan Malaysia

Lelaki Balikpapan buat kayuhan solo ke Mekah

MUHAMMAD FUAD Syamsuddin bersama basikal miliknya ketika ditemui di Ar Rasyafat Islamic Centre, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April lalu, memberi kelegaan kepada seorang lelaki dari Balikpapan, Kalimantan Timur, Indonesia bagi merealisasikan hasratnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dengan berbasikal secara solo.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Muhammad Fuad Syamsuddin, 54, berkata, dia yang memulakan kayuhan sejak Jun tahun lalu bersama seorang rakan tiba di Batam pada Disember lepas.

Namun katanya, mereka berdua terpaksa menunggu selama empat bulan sebelum pintu sempadan Malaysia dibuka semula.

Bagaimanapun jelas Muhammad Fuad, rakannya mengambil keputusan pulang semula ke Balikpapan kerana terlalu lama menunggu.

“Segala halangan yang mendatang itu tidak pernah memadamkan hasrat saya untuk mengayuh basikal.

“Sudah lama saya pendam hasrat ingin menunaikan umrah dan tiba di Mekah dengan berbasikal. Selepas segala kelengkapan diuruskan, saya mula mengayuh dari kampung halaman di Balikpapan menggunakan basikal biasa.

“Namun setibanya di Lampung, seorang individu menghadiahkan sebuah basikal berkuasa elektrik jenis Shimano Polygone berharga RM7,000. Alhamdulillah perjalanan saya lebih mudah serta menjimatkan tenaga khususnya apabila melalui jalan rata kerana ia mampu bergerak sejauh 80 kilometer (km),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ar Rasyafat Islamic Centre dekat sini.

Muhammad Fuad singgah sebentar di Melaka selepas melalui jarak perjalanan sejauh 2,800km dari Lampong dan dijangka sampai ke Mekah September ini.

Sebelum ini, dia melalui Surabaya, Madura, Jawa, Jakarta, Sumatera, Medan dan Batam sebelum menaiki feri ke Stulang Laut, Johor.

Tambahnya, sepanjang Ramadan, dia tetap meneruskan kayuhan walaupun berpuasa dan setakat ini tidak pernah meninggalkan ibadah itu.

“Sepanjang laluan dari Johor Bahru ke Melaka, saya berterima kasih kepada orang ramai serta
pihak masjid serta surau di Batu Pahat dan Muar yang membenarkan untuk bermalam,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN