‘Ku Deen Veteran dihormati’ - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

‘Ku Deen Veteran dihormati’ – Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94 yang meninggal dunia, malam tadi. 

Perdana Menteri berkata, pemergian Tengku Ahmad Rithauddeen yang menghembuskan nafas terakhir  8.43 malam tadi merupakan kehilangan besar buat negara.

Justeru, Mewakili Keluarga Malaysia, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan tersebut.  

“Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati. 

“Selain Menteri Pertahanan (1987-1990),  antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan. 

“Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Ku Deen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di Kuala Lumpur akibat sakit tua.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN