MELAKA: Bekalan daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang meningkat mendadak menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemborong, Hasan Loyot berkata, dia hanya menerima bekalan sebanyak 1,000 ikat pelepah daripada pembekal di Indonesia.
Menurutnya, pembekal menjanjikan 1,500 ikat namun sewaktu mengambil daun kelapa muda berkenaan, permintaannya tidak dapat dipenuhi.
“Situasi itu memaksa saya mengehadkan pembelian daripada peniaga dan penjual ketupat rebus iaitu daripada 100 ikat kepada 50 ikat sahaja.
“Jika saya tidak hadkan pembelian mungkin ramai peniaga tidak dapat mencari rezeki kalau ada peniaga yang mengambil daun ini dengan kapasiti yang sangat banyak,” katanya ketika ditemui.
Menurut Hasan, enam pekerjanya kini sedang bertungkus-lumus mengasingkan pelepah daun kelapa muda bagi memilih yang tidak rosak daunnya, kemudian diikat.
Katanya, kebanyakan peniaga di Pasar Borong dan Pasar Besar Melaka sudah membuat tempahan, sejurus dimaklumkan ketibaan daun itu minggu lalu.
“Syarikat dari Indonesia menetapkan harga dari RM25 kepada RM35 seikat bagi kira-kira 400 helai daun tersebut.
“Kenaikan harga daun kelapa muda tahun ini tidak dapat dielak kerana mereka memberi alasan kos sewa kapal, upah dan sebagainya turut meningkat. Saya tidak ada pilihan untuk menaikkan harga jika tidak langsung tidak ada bekalan diperoleh,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE