PUTRAJAYA: Jutaan penerima dos Sinovac di negara ini lega apabila vaksin itu diperakui Kesatuan Eropah (EU) berkuat kuasa serta-merta.
Berita gembira itu dimaklumkan oleh blok berkenaan menerusi kenyataan rasmi dalam laman sesawangnya hari ini setelah keputusan berkenaan diluluskan Jumaat lalu.
“Suruhanjaya Eropah (EC) sedia memudah cara pergerakan pemegang sijil vaksinasi dari Malaysia dalam kawasan EU selaras Peraturan 2021/953 Parlimen Eropah,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan rasmi berkenaan juga diperakui sendiri oleh Presiden EC, Ursula von der Leyen di ibu pejabat badan tersebut di Brussels, Belgium bertarikh 1 April lalu.
Ia dikongsikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui ciapan akaun Twitter dengan ayat ringkas: “Malaysia dan EU dihubungkan semula.”
Utusan Malaysia pada 23 Mac lalu mendedahkan secara eksklusif mengenai nasib lebih 10 juta penerima vaksin keluaran Sinovac di Malaysia yang berisiko disekat untuk memasuki EU.
Ia ekoran vaksin itu tidak pernah diperakui Agensi Perubatan Eropah (EMA) malah ada berita beberapa warga Malaysia diusir keluar kerana tidak semua 27 negara EU mengiktiraf dos ini.
Bahkan, meskipun garis panduan EMA itu bukan bersifat mandatori, negara yang enggan memperakui Sinovac berhak mengusir rakyat asing dengan dos tersebut balik ke negara asal.
Sehubungan itu, pihak EU di Malaysia menasihatkan rakyat negara ini sama ada ingin bercuti, bekerja atau belajar, agar menyemak status vaksinasi dengan kedutaan negara terbabit.
Sementara itu, Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas turut mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun media sosialnya, semalam.
“Berita baik, EU telah menerima permintaan Malaysia untuk mewujudkan penyelarasan antara Sijil Covid Digital EU dengan MySejahtera di Malaysia.
“Ini adalah satu pemangkin buat sektor perniagaan dan pelancongan di negara ini,” katanya.
Mingguan Malaysia pada 27 Mac lalu melaporkan khabar positif mengenai ada rundingan antara Kementerian Kesihatan dengan EU bagi memperakui vaksin berkenaan.
Ini membolehkan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera diterima secara timbal balas dengan dihubung kepada Sijil Covid Digital EU (EUDCC) yang diwujudkan sejak Julai 2021.
Dokumen blok tersebut pada ketika ini sudah diiktiraf 35 negara bukan EU antaranya Britain, Emiriah Arab Bersatu, Jordan. Lubnan, Maghribi, New Zealand, Panama, Thailand dan Turki.
Mengulas lanjut, EU menerusi kenyataan rasmi itu berkata, usaha bagi perakuan sijil digital vaksinasi MySejahtera sudah bermula 18 November 2021 atas inisiatif kerajaan Malaysia.
“Sebagai tambahan, Malaysia telah memaklumkan EC bahawa sijil tersebut meliputi jenama Comirnaty, Vaxzevria, Coronavac, Convidecia dan terbaharu WIBP-CorV,” jelasnya lagi.
Justeru, setelah mengambil kira segala maklumat diberikan, EC berpuas hati sijil tersebut memenuhi segala kerangka kerja peraturan dan turut boleh dihubungkan kepada EUDCC. – UTUSAN










