SEREMBAN: Tiada apa yang dimahu dipinta sempena sambutan Aidilfitri kali ini melainkan keadilan dan pembelaan buat mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 43.
Menurut adik mangsa, Fauziah Nordin, 40, walaupun sudah hampir setahun kejadian kakaknya itu dipukul dan dicederakan, Perbicaraan masih belum berlangsung.
“Kami sekeluarga dimaklumkan, perbicaraan sepatutnya bermula pada bulan Mac lalu, namun, difahamkan ditangguh pula pada bulan Julai, jadi kami kena sedang tunggu tarikh tersebut.
“Jika diikutkan memang sakit hati kerana kes ini sudah hampir setahun berlalu. Ahli keluarga suami kakak juga tidak pernah sekalipun menghubungi kami bertanyakan khabar. Apa-apapun, kami tunggu sahaja tarikh perbicaraan yang akan berlangsung di Johor Bahru itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Fauziah yang kini menjaga sepenuh masa kakaknya, sementara itu berkata, sambutan Aidilfitri kali ini disambutnya bersama keluarga secara sederhana sahaja.
“Dalam keadaan begini, memang susah mahu beraya sangat seperti dahulu, keluar berjalan-jalan dan sebagainya. Persiapan Aidilfitri pun cuma untuk anak-anak sahaja.
“Bagaimanapun, adik beradik saya yang lain dan saudara mara ada memberitahu untuk datang menziarah terutamanya untuk melihat keadaan Jahidah dan bayi lelakinya, J Eshan Nufail,” katanya.
Ditanya tentang keadaan terkini Jahidah, Fauziah memberitahu, keadaan kakaknya itu tidak banyak berubah dan hanya memberikan respon yang sedikit.
“Dia masih belum banyak respon, hanya bergerak sedikit-sedikit. Cuma, apabila didekatkan dia dengan Eshan Nufail, dia nampak banyak memberikan reaksi dan kepalanya digerakkan seperti mahu menyentuh anaknya itu,” katanya lagi.
Mengenai keadaan anak buahnya itu pula, Fauziah memaklumkan Eshan Nufail kini sudah berusia lima bulan serta semakin sihat.
“Dia semakin bijak, sudah lima bulan kan, semakin sihat dan banyak ragamnya, namun, mudah dijaga. Sekarang ini, apabila dia melihat wajah ibunya, dia akan pandang sahaja dan senyap seperti mengetahui keadaan ibunya itu yang sakit,” kata Fauziah lagi.
Jahidah selamat melahirkan bayi lelakinya itu secara pembedahan pada 30 November 2021.
Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Sebelum ini pada 17 Jun 2021, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma. –UTUSAN ONLINE