PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji desakan penduduk yang mahu Depoh Imigresen Sementara Relau ditutup ekoran bimbang mengenai isu keselamatan melibatkan warga asing.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi maklum balas tersebut ketika ditanya berhubung desakan penduduk yang bimbang susulan kejadian tahanan etnik Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari depoh tersebut baru-baru ini.
“Akan kaji semula untuk permintaan oleh mereka yang duduk di kawasan situ,” katanya ringkas dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Keputusan Kewarganegaraan di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 3,000 penduduk di mukim Relau, Bandar Baharu, Kedah meminta kerajaan menutup segera depot imigresen sementara yang menempatkan tahanan etnik Rohingya di kawasan tersebut demi menjaga keselamatan dan keamanan.
Hal ini kerana kejadian tahanan etnik Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari depot imigresen itu pada Rabu lalu menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya berlaku insiden lebih buruk selepas ini.
Dalam kejadian pukul 4 pagi, 20 April lalu, seramai 528 tahanan Rohingya merusuh dan meloloskan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau dan enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri.
Sementara itu, Hamzah berkata, sehingga kini seramai 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri masih diburu oleh pihak berkuasa. – UTUSAN