KUALA LANGAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan meningkatkan pemantauan penjualan mercun dan bunga api secara haram di semua bazar Ramadan seluruh negara.
Tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Mercun itu dilakukan susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bazar dan pembukaan semula sempadan negara hari ini.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya sentiasa menjalankan rutin pemeriksaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan termasuk mercun ketika musim perayaan.
Katanya, operasi itu turut melibatkan bazar Ramadan yang dikesan merekodkan kes dan rampasan sebelum ini.
“JKDM menerusi pasukan penguat kuasa di setiap negeri akan menjalankan pemeriksaan di bazar yang bakal beroperasi sepenuhnya Ahad ini.
“Jika kesalahan dikesan, tindakan lanjut ke atas pesalah akan dikenakan mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967,” katanya pada program Khidmat Bakti Masyarakat di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting di sini, hari ini.
Pada program tahunan itu, sebanyak 250 set barangan keperluan disumbangkan kepada keluarga Orang Asli tiga buah kampung di kawasan tersebut.
Jelas Abdul Latif, semua peniaga diingatkan supaya tidak terjebak dengan kegiatan penjualan bahan larangan itu biarpun hanya secara kecil-kecilan.
“Kebiasaannya, penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit itu menjadikan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan.
“Jika dikesan melakukan kesalahan itu, pelaku akan ditahan dan didakwa ke mahkamah tanpa mengira sama ada ia berskala kecil atau besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JKDM sudah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi pembukaan semula sempadan negara dan fasa endemik ketika ini.
“Kita jangka tiada sebarang masalah kerana persediaan turut dibuat bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).
“Pemantauan berterusan akan dilakukan semua laluan yang digunakan sindiket sama ada menerusi darat, laut, dan udara,” katanya. –UTUSAN ONLINE