PUTRAJAYA: Sebuah institusi perubatan di ibu negara dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana didapati telah melepaskan pencemaran bau gas.
Menurut hantaran agensi tersebut menerusi laman sosialnya semalam, tindakan berkenaan dibuat hasil susulan aduan berulang daripada seorang penduduk di kawasan berhampiran.
“Pihak JAS Wilayah Persekutuan kemudian telah menjalankan pemantauan dan pengawasan pencemaran gas di rumah pengadu selama tempoh 62 jam bermula 26 Mac lalu,” katanya.
Langkah berkenaan, ujarnya, perlu dibuat bagi mengenal pasti jenis gas dilepaskan daripada aktiviti atau pengoperasian oleh institusi tersebut yang menyelubungi kawasan di sekitarnya.
Bagi tujuan itu, pihak JAS Wilayah Persekutuan menggunakan alat pengukuran analisis gas pelbagai yang mudah alih dikenali sebagai Cerex dan peranti monitor gas disebut Dragger.
Berdasarkan data diukur, tahap bacaan ada menunjukkan beberapa gas yang signifikan telah dikenal pasti sehingga mengakibatkan berlaku pencemaran udara di kawasan berkenaan.
JAS seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan selanjutnya terhadap pihak institusi tersebut bagi memastikan insiden sama tidak berulang dengan langkah kawalan serta-merta.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan tidak pula menyatakan secara terperinci apakah bentuk tindakan yang dikenakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kelazimannya, pelaku kes sedemikian jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Orang ramai ujar JAS, diminta melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar menerusi talian 1-800-88-2727 yang dibuka 24 jam atau kepada portal e-aduan disediakan. –UTUSAN ONLINE