Hanya kerajaan boleh benarkan tinggal di Malaysia

Hanya kerajaan boleh benarkan tinggal di Malaysia – Hamzah

HAMZAH Zainuddin bersama penerima surat keputusan kewarganegaraan selepas majlis penyampaian surat berkenaan di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya Kerajaan Malaysia boleh mengesahkan seseorang individu itu dibenarkan untuk tinggal di negara ini dan bukannya mana-mana pihak yang mengaku boleh memberikan kebenaran tersebut. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pendaftaran bagi membolehkan tinggal di Malaysia dibuat oleh satu agensi sahaja iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang kini diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh. 

“Isu Rohingya ini sudah lama dan hari ini lebih 150,000 orang yang telah didaftar di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Pendaftaran negara kita hanya satu badan diketuai Datuk Ruslin iaitu JPN. 

“Dia pendaftar sah untuk daftar mana-mana individu yang tinggal dalam negara kita dan tiba-tiba ada orang lain pula buat pendaftaran. Ini apasal,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Keputusan Kewarganegaraan di sini hari ini.  

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mencari jalan untuk memastikan hanya menerima pengesahan kad dikeluarkan oleh agensi di bawah KDN. 

“Bukan oleh mana-mana pihak yang mengaku bahawa ini kad UNHCR, jadi siapa nak pastikan? Malaysia patut pastikan sama ada orang itu sah boleh tinggal dengan kad yang boleh kita berikan,” katanya. 

Pada April 2020, Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

Hal ini disebabkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Berhubung majlis hari ini, beliau berkata, seramai 34 orang menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan terdiri daripada 21 Melayu, lapan Cina, empat India dan satu beragama Islam dipelihara orang bukan Islam.   

Katanya Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, dalam sesuatu hal keadaan khas, mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warga negara. 

“Permohonan mesti bawah usia 21 tahun dan penilaian permohonan untuk warga negara Malaysia mengambil kira pelbagai faktor termasuk pertalian anak dan keberadaan di Malaysia selain pelbagai lagi perlu diteliti. 

“Usia yang menerima pada hari ini antara lima hingga 24 tahun. Kenapa 24 tahun, kerana permohonan kena buat sebelum 21 tahun dan kelulusan mungkin mengambil masa,” ujarnya. 

Tambah beliau, untuk tahun ini sahaja, lebih 3,000 orang setakat ini menerima taraf sebagai warga Malaysia dan hampir 8,000 orang pada tahun lalu manakala sepanjang tempoh dua tahun ini, kira-kira 20,000 permohonan telah diluluskan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya