KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton lelaki negara Ng Tze Yong akan ke Doha, Qatar bagi menjalani pembedahan untuk menyelamatkan masa depan kariernya.
Tze Yong bersetuju menjalani rawatan di Hospital Aspetar yang pernah merawat bintang bola sepak seperti Erling Haaland, Kylian Mbappe, Karim Benzema dan juga legenda tenis dunia, Rafael Nadal.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh mengesahkan bahawa Institut Sukan Negara (ISN) mencadangkan Hospital Aspetar yang dikenali memiliki kepakaran terbaik dunia terutama dalam rawatan ortopedik.
“Kami telah dimaklumkan bahawa dia akan ke Doha, cuma tarikh sebenar masih dalam urusan ISN dengan pihak Aspetar.
“ISN sedang menyelaraskan semuanya, termasuk perbincangan dengan Aspetar dan kami harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” kata Kenny pada sidang media selepas sesi libat urus pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, kelmarin.
Tze Yong sebelum ini baru sahaja kembali beraksi pada April lalu selepas berehat selama 14 bulan susulan dua pembedahan membabitkan kecederaan belakang.
Malangnya, pemain itu sekali lagi ditimpa kecederaan apabila ligamen lutut kanannya koyak ketika beraksi dalam pusingan pertama Malaysia Masters menentang Angus Ng dari Hong Kong, Mei lalu.
Pembedahan ACL yang bakal dijalani di Aspetar itu dianggap misi terakhir buat Tze Yong untuk kembali ke tahap terbaik. – UTUSAN










