Enam banduan lolos mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Enam banduan lolos mengaku tidak bersalah

ENAM banduan tahanan reman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, hari ini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia pada 10 April lalu. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Enam banduan tahanan reman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, lebih seminggu lalu.

Tertuduh, Sohaimi Khalid, 50; Mohd. Zairizan Zainal, 42; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28 dan seorang bukan warganegara bernama Zainuddin, 62, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Berdasarkan pertuduhan bersama berkenaan, kesemuanya bersama seorang lagi tahanan yang masih bebas, pada 10 April lalu kira-kira pukul 2 petang di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, didapati dengan sengaja mengambil peluang melarikan diri dari tahanan yang sah mengikut undang-undang.

Oleh itu, kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudiannya menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Jelebu bagi menunggu serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya