Caj penghantaran punca harga ayam naik - Utusan Malaysia

Caj penghantaran punca harga ayam naik

WAN Mohamad Afiq Wan Ahmad Fauzi menyusun ayam yang dijual di Pasar Besar Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Caj penghantaran ayam sekurang-kurangnya 30 sen bagi setiap kilogram dipercayai menjadi punca peniaga terpaksa menaikkan harga melepasi harga kawalan RM8.90 sekilogram

Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa, caj tersebut yang baharu diperkenalkan pada Ahad lalu, menyebabkan keuntungan diperolehi mereka semakin mengecil iaitu tidak sampai RM1 bagi setiap sekilogram ayam yang dijual.

Namun, ada juga dalam kalangan peniaga yang kekal bertahan menjual ayam di bawah harga kawalan, meskipun terpaksa menyerap kos, kesan daripada kewujudan caj penghantaran itu.

Salah seorang peniaga daging, Wan Mohamad Afiq Wan Ahmad Fauzi, 25,  berkata, keuntungan diperolehi peniaga ketika ini menyusut berikutan pengenalan caj penghantaran tersebut oleh para pembekal.

“Sebelum ini, kami terima ayam dengan harga RM7.60 daripada pembekal tanpa ada apa-apa caj tambahan. Tetapi kini apabila mereka perkenalkan caj penghantaran, kami perlu pula bayar 30 sen bagi setiap kilogram ayam yang dibekalkan.

“Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa menyerap kos tersebut kerana kami masih perlu menjual ayam kepada pengguna pada harga RM8.90 seperti ditetapkan di bawah skim kawalan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika pemantauan harga oleh Persatuan Pengguna Kedah (Cake) di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata,  caj penghantaran yang dikenakan pembekal itu akan meningkat harga ayam sehingga 50 sen sekilogram.

“Ini caj baharu yang diperkenalkan pembekal tanpa diketahui pengguna atau pihak-pihak lain. Semua pihak tidak tahu mengenainya dan disebabkan itu, tidak mustahil caj tersebut akan menjadi lebih tinggi di kawasan luar bandar.

“Di Changlun dan Pendang contohnya, kita nampak memang ada berlaku kenaikan harga yang tidak relevan. Jadi kita minta pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memantau perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengkaji semula sistem-sistem yang diguna pakai selama ini, yang disifatkan gagal dalam membela nasib pengguna di negara ini.

“Kalau beri subsidi tetapi masih berlaku kenaikan harga, itu bermakna sistem tersebut gagal. Minyak masak contohnya, ada subsidi tetapi gagal sampai ke tangan pengguna.

“Begitu juga dengan subsidi yang diberikan kepada penternak tetapi harga ayam tetap mencecah RM9 hingga RM10 sekilogram. Di situ kita sudah tahu sistem itu gagal dan ia perlu diteliti serta dikaji semula” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN