MELAKA: Sebuah restoran di Pulau Melaka di sini mencuri perhatian ramai apabila memberi peluang kepada keluarga asnaf menikmati juadah bufet berbuka puasa secara percuma.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengurus Selat Avenue, Muhammad Shafiq Jamuri, 26, berkata, pemberian itu adalah tanggungjawab sosial yang dizahirkan pihaknya untuk meraikan golongan kurang berkemampuan di bulan penuh barakah.
Katanya, ia memandangkan bufet Ramadan merupakan salah satu acara kekeluargaan yang sering dinantikan, namun tidak semua golongan mampu memiliki pengalaman berbuka dengan pelbagai seleksi juadah.
“Bila orang sebut sahaja bufet Ramadan, harga yang ditawarkan di kebanyakan tempat bukanlah murah dan golongan asnaf ini hanya mampu mendengar atau lebih sayu, melihat dari jauh.
“Sebab itu kami sediakan bufet istimewa untuk mereka kerana mahu golongan ini turut sama merasai kemanisan bulan Ramadan bersama keluarga mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Shafiq memberitahu, selain itu Selat Avenue juga menawarkan bufet Semarak Iftar pada harga rendah bagi mereka yang kurang berkemampuan.
“Bagi yang kurang berkemampuan, kita sediakan bufet pada harga RM39 untuk setiap seorang dewasa dan RM29 bagi warga emas dan kanak-kanak.
“Sebanyak 30 menu disediakan termasuklah ikan kembung tiga rasa, ikan bakar, ayam masak lada hitam, aneka kuih, aiskrim, asam pedas tetel, 10 jenis air balang, bubur dan pelbagai lagi,” katanya.
Jelasnya, bufet itu bermula pukul 6.30 petang sehingga 10 malam sehingga 1 Mei ini. – UTUSAN